Oleh: Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ( Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM)
Orang Inggeris berkata, jika kejahatan jelas kelihatan
Bukan bertopengkan kebajikan dan kebaikan
Bukan seperti musang berbulu ayam
Atau serigala berbulu anjing peliharaan
Hakikat itu dikenali depravity
Zahir mencermin batin, mudah dijauhi.
Tetapi, jika Tuhan dilupakan, digantikan insan dan patung
Dan syirik besar dianggap penyembahan terulung
Jika ilmuan bisu dayus dianggap sederhana dan santun
Hakikat keji ini disebut mereka corruption.
Inilah satu cabang nifaq, penyakit rohani
Berserban di kepala, iblis bertakhta di hati.
Mulut menyata bakti pada rakyat jelata, negara tercinta
Nikmat dikaut berjuta untuk sahabat, juak dan keluarga.
Bila ketua gagah berkuasa tangannya dikucup mesra
Akal mencipta fitnah, hati memendam nanah berbisa
Bila ketuanya alpa dan takhtanya mula bergoyang
Tersemburlah najis dari mulut penciumnya, petualang!
Petualang menjilat ludahnya sendiri, memeluk ketua baru
Lemparlah sisa tulang kepada anjing, pasti dikawalnya kamu
Tidak dikira tulang itu tulang saudaranya sendiri
Atau tulang gurunya yang dulu disayangi-geruni.
II
Apabila sesuatu yang lurus menjadi bengkok
Apabila yang berani menjadi dayus penakut
Apabila yang manis menjadi masam
Apabila yang putih menjadi hitam
Apabila yang jernih menjadi keruh
Apabila yang haram menjadi makruh
Dan yang dilarang menjadi yang disuruh:
Itulah fasad ciptaan insan kehilangan arah
Merosak langit dan bumi; semua terjarah.
Apabila zina menjadi hubungan kasih insan merdeka
Pencurian berjuta direstui Parlimen dan pemimpin negara:
Apabila pemberi wang menjadi raja penentu pendidikan
Ilmuan dinilai pada jumlah ringit penyelidikan
Pentadbir dinaik-pangkat kerana ketua dipertuhan;
Apabila rasuah seringgit dikeji-kecam semua
Berjuta hilang dari saku rakyat diperbiasa:
Itulah fasad membuah kezaliman dahsyat
Segala sesuatu disalah tempat,Fahisya dan mungkar diperadat.
Bila lampu dieni dimatikan mufti dan kaum Wahhabi
Yang gagal mengenali zaitun dalam lampu nan suci
Terbiasakan benzin berasap menghitam hati
Gelaplah umat meneroka malam, terjatuh ke longkang dalali.
Lampu pusaka Nabi, dinyalakan semula Imam al-Ghazali,
Digilap lagi cerminnya oleh Sheikhul Akbar,Jami dan Rumi.
Di Alam Melayu, lampu ini diarak Raniri:
Melayu, Jawa dan sebagainya giat mendalami
Arti agama meliputi segala syariat, akhlak, hakikat tinggi
Melawani kaum juhala, sufastaiyyah pelbagai segi
Berperisai akli, berpedang syar’i, bertombak siyasi.
Lampu inilah-wahai Mufti dan kaum Wahhabi semua
Menyuluh umat walau Sultan hilang kuasa, Portugis bertakhta
Belanda dan Inggeris begitu lama mengaut harta pusaka
Tidak seorangpun Melayu, Aceh atau Minang menjadi gila
Menolak aqidah Muhammad dan Memeluk Nasrani bersenjata
Lampu agung menyuluh umat beratus tahun lama
Walau Raja dan laksamana tumpas, saling sengketa
Namun umat masih gigih menyembah Tuhan nan Esa
Berimamkan Nabi dan pewarisnya berbilang bangsa,
Gagah menunggang ombak mencari ilmu di merata daerah-Melaka, Pasai, Kelantan, Haydramaut, Madinah, Kahirah
Bertahun mengembara, tanpa wang, berpenat lelah
Berjauhan saudara, ibu ayah, pantang mengalah.
Kini lampu-lampu agung dipadam, leluhur dikebumi dalam hati
Bolehkah lilin-lilin kerdil menerangi kelam sekularisasi?
Portugis lama menghilang dari Melaka dan jajahannya
Belanda dan Inggeris tidak lagi menguasai Selat dan Tenggara
Siam telah lama diam, mentari Jepun pudar sinar tenteranya-
Namun kedengaran khabar duka dari merata Kepulauan kita
Kaum remaja dan dewasa mudah meninggal ajaran Mustafa
Telah rela membutakan mata dengan salib Kristian
Dan berjalan bertongkat, dipimpin anjing peliharaan!
Kau, cendekiawan dan pemimpin pelbagai bidang
Luruskan semula yang dibengkokkan, jauhi petualang!
Tinggalkan tulang, kau bukan bangsa binatang
Kau insan ciptaan gemilang, berfikirlah panjang!
Bestkan puisi.Hanya orang yang memahami puisi ini je akan rasa uniknya puisi ini.Mempunyai maksud yang tersirat..
Nota Pasca Haji
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan